Saturday, September 5, 2020

Kambing, kambinglah jua

 Adapun dceriterakan oleh empunya sahibul hikayat, akan kisah sang kambing sekandang. Dikisahkan tentang seekor kambing yang tersangatkah mengahnya akan dia sebagai kambing. Lengkaplah ianya sebagai kambing dengan kekambingannya.


Lengkap berekor seperti kambing, bertanduk seperti kambing jua, hatta berjanggut tidak kira jantan betina seperti kambinglah, tahinya juga bulat lonjong seumpama jamu makjun yang digentel, malah bunyinya juga embek embekan tiada tumpah kekambingan.


Maka berembeklah akan kambing ini memprotes bersungghan, marah benar ia kepada tuannya, iaitulah tuan kepada sekalian kambing sekandang itu. Maki hamunpun didengari dan difahami oleh segala kambing-kambing, termasuk ayam, itik, angsa, puyuh dan lembu yang tinggal bersebelahan kandang mereka. Akan tetapi tiada pula difahami oleh tuan kambing itu akan bahasa kambing walaupun janggutnya seumpama janggut kambing jua. Kerana dia berjanggut berdasarkan sunnah sedangkan kambing berjanggut kerana ianya kambing.


Tuannya tiadalah peduli akan maki hamun kambing dengan bahasa kambing yang sangat mengembek itu. Diberinya makan akan para kambingnya dengan segala rumput rampai, daun-daun nangka dan garam kepada mereka, Maka makanlah segala kambing-kambing lain.


Rupa-rupanya si kambing yang seekor itu bermaki-makian akan tuannya kerana memprotes mengapa ianya diberi makan segala macam rumput rampai, daun nangka dan garam kepadanya. Mengapa dia dilayan seperti kambing oleh tuannya. Kata si kambing itu ..... mengapakah kita dipaksa oleh tuan kita yang berjanggut seperti kambing itu memakan segala rumput rampai, daun nangka dan garam ini ......


Entahlah. Kambing lain peduli apa, mereka terus meragut dengan enak. Sedang tuan kambing menjeling kepada kambing yang mengembek maki itu sambil berkira-kira..... Kau akan kukorbankan sepekan lagi.


Itulah akan hikayat si kambing .......

Tuesday, June 30, 2020

Keruh Di Udik .... Lumpur Di Muara

Anak-anak udik
bebas melastik kelicap rimba
mengejar ayam keliling rumah
menangkap sepilai
.... di kubang kerbau
pemajak bendang tepian kali

Udik yang lampau
yang tak pernah kiruh
kini keruh

Anak udik dipajah bebayang
anak muara
  mabuk terminum kumuh

Udik bingung
  muara yang rengsa


Sam Rizal
Institut Bahasa Kuala Lumpur
1995

Dongeng Nenek Sang Purba

Umat!!!
barangkali kita pernah mendengar
bicara purba dari penglipurlara
bicara-bicara manyau, mamai
layaknya orang kemabukan candu
dan kita juga
pernah sama menagih

UMAT!!!
ingat
bicara nenek purba
Si Guntang maha Meru
asal kita dalam pertapa
Iskandar Zulkarnain
leluhur mulia
dijadi persenda

Buih-buih kotoran lembu
itu asal kita
kemuliaan yang telah dihina
sembahan yang menjadi dewata
       alangkah
mulianya umatku turunan
dewata raya

Tercampak ke laut menyepi gelora
terdampar di bukit
   mengemas hasilnya
   berbuah intan
   berbatang emas
   berdaun perak
   berakar suasa

Terlalu mulia umatku
umat
yang dimuliai nenek sang purba
nenek sang purba sudah mati
jangan digali kuburnya


Sam Rizal
Sri Gambut, Tanjung Karang
Syawal 1417

Lembah Syura

Lembah ini adalah lembah syura
diwariskan sejak zaman dahulu
zaman yang diwariskan
oleh
... solafussoleh

Disambung zaman berzaman
oleh
salaf dan khalaf
lembah ini sangat aman dulunya
tiada serakah menerjah
tiada tamak mengiruh
tiada nafsu mencabuh
amarah tak pernah buncah
kacau .... semuanya rapih

Kini....
tepian lembah itu
diterokai ribuan desa
desa kapitalis mendobrak
menghalau segala
meranap seperti geroda melanggar kampung
manusia meratah mentah insan

Persejagatan nasionalis melulu
menjaring lembah
jaringan tunda yang menangkap
bebilis kecil kesucian
nasionalis melulu awur

Kota demokrat semakin buncah
berpanjikan doktrin tipu
si bangsa biadap
doktrin di Yatrib dimakan anai doktrin

Perkampungan sejagat itu tak aman
kota dan desa tak uruk lagi
dipajah oleh hakikat manusiawi

Lembah itu akan  subur semula
lembah syura yang tinggal kenangan
akan membina lagi satu kenangan

Sam Rizal
IBKL Lembah Pantai
Januari 1995

Thursday, June 25, 2020

Siling Anjung Yang Runtuh

Anjung kedamaian ini ..... dulu
Tak pernah sunyi daripada
Laluan manusia yang mukhlis
..... Walaupun kadangkala tak muklis
Tapi .... Ia tak pernah sunyi

Anjung kedamaian ini
Menjadi teduhan
Umat menanti pengajian
Di situ bersandar kardus
Penuntut ilmu keguruan

Anjung kedamaian ini
.... Dulu
Sering sendat di hari penghulu
..... Sesak .....
Seperti jemaah di Mina
Walaupun bukan tidak seperti Mina

Anjung kedamaian ini
Tempat kami membetulkan
Semutar, bulang .... Kopiah
Dan bersisir
Di bawahnya

Anjung kedamaian ini
Dindingnya terlekat takwim
Tempat bilal meneliti waktu

Anjung kedamaian ini
Kini benar-benar damai
Damai daripada segalanya
Damai daripada manusia muklis
Dan tidak muklis
Damai daripada kardus keguruan
Damai daripada jemaah seperti Mina
Yang tak macam Mina (bukan)
Damai daripada segala kedamaian yang nyata

Anjung kedamaian ini benar-benar damai
Damainya kerana kami
Yang benci kedamaian itu
Anjungmu kini damai
Lantaran
Siling Anjung Yang Runtuh

Sam Rizal
Surau Diri Jumaat Institut Bahasa
17 April 1996



Hauran ( bicara buat penyabar )


Hauran
Kau telah menitiskan air mata
  Dari perutmu
Kebiadapan manusia-manusia
Yang hatinya buta

Hauran
Dadamu sentiasa sebak
Menahan air mata yang tak tumpah
Manusia-manusia lakhnat
Membadut perisalah

Hauran
  Di pembentanganmu
  Berjatuhan ulat-ulat
Petunjuk kebenaran
Ulat-ulat dari tubuh suci
Leluhur Aulia

Hauran
Sejarah telah berkata
Betapa isteri yang setia
Terpesong
Angkara iblis dan syaitan durjana

Hauran
Tanahmu merah kekontangan
Penggali perigi keimanan dipersenda
Anak dan zuriat
Tiada yang bernyawa
Kemewahan semuanya maya
Kegagahan melesu jua

Namun..... Hauran
Kaulah saksi derita itu
Derita kemuliaan
   Ujian Rabbul Izzati
   Bukti nabi

Hauran
Namamu terpahat di lembaran suci
Yang tak kan terpadam
Ceritamu
Bersama kesabaran
Rasul yang agung

Sam Rizal
1 Zulkaedah 1417
Sri Gambut Tanjung Karang

Hauran 
Sumber : Wikipedia


Wednesday, June 24, 2020

Jamuan Raya

Minggu hadapan sekolah akan adakan jamuan sempena hari raya. Setiap murid digalakkan membawa juadah atau menyumbangkan wang untuk meraikannya.

Zikri, kelihatan murung. Dia mahu meraikan sambutan bersama rakan-rakannya yang lain.
"Aku tidak ada wang untuk disumbangkan," bisiknya sendirian.

Bukan dia sahaja, ada beberapa orang pelajar lain yang sama dengannya. Mereka bukanlah orang berada. Sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Tetapi kemeriahan berhari raya tetap mahu diraikan.
"Apa yang dibualkan tu?" Tanya Cikgu Nazrin, guru  kelas 6 Intan.
"Tak ada apa-apa cikgu, minggu depan ada jamuan sempena hari raya," kata Zikri mewakili rakan-rakannya.

Cikgu Nazrin faham maksud anak-anak muridnya itu. Dia mengenali mereka sejak tahun empat lagi. Sudah tiga tahun cikgu Nazrin menjadi guru kelas mereka.

"Begini, minggu depan Zikri bawa 50 ketul kuih koci, Amin bawa 50 bungkus nasi lemak, Azri bawa 50 ketul karipap pusing. Cikgu dah tempah kek gula hangus daripada Farah. Persediaan lain kita akan bincang dalam kelas nanti" cikgu Nazrin memberikan penjelasan kepada mereka.

"Tentang bayaran, jangan bimbang, sebelum balik nanti cikgu akan bagi kepada kamu untuk diserahkan kepada ibu masing-masing," tambah Cikgu Nazrin sambil tersenyum.

Di rumah mereka menyerahkan sampul berisi wang kepada ibu masing-masing seperti yang dinyatakan oleh Cikgu Nazrin. Dalam sampul itu berisi wang untuk menempah juadah sambutan hari raya. Jumlahnya melebihi daripada harga yang sepatutnya.

Begitulah cara Cikgu Nazrin dan Cikgu Rizal meraikan anak-anak murid dan keluarga mereka. Syukur, itulah kalimat yang bermain di bibir anak-anak murid dan keluarga yang sangat pekerti ini.

Singa Dan Nyamuk

Oleh Nurnatasya Qaireena Bt Mohd Firdaus Alhafis
Tahun 4 Kenanga



Semilir Itu Bertiup Tenang

Angin semilir yang bertiup tenang
dari al Ulum
di Bagan Datoh
ke Sri Larut
di Taiping
bersesak di Sofar
pusat bandar
hijrah ke Idrisiah
bandar kuning di raja
langsung ke Pusat Pelajar
di Caldwell
dan kini Istana Tuanku
medan pertautan

angin semilir yang bertiup tenang
dari jiwa-jiwa merdeka
berkitar lembut
dalam bungkal segenggam ini

angin semilir yang bertiup tenang
di sore ceramah LADI
sebagai induksi anak-anak daerah

angin semilir yang bertiup tenang
di kala subuh kuliah Tamrin Qiayadi
membina kekuatan jiwa

angin semilir yang bertiup tenang
di senjakala iftar jamaiy
pengukuh ukhuwwah
petugas sejati

angin semilir yang bertiup tenang
dalam bengkel Latihan Dedikasi
melahirkan jutaan pemimpin sejati

angin semilir yang bertiup tenang
berlegar dalm diri
kami kami
para petugas KPIP

Sam Rizal
Pusat Pelajar Islam
Jalan Kelab Golf
9 Ogos 1998

Untukmu Ya Rasul

25 April di tahun gajah
12 Rabiul Awwal hari yang cerah
Subuh mulia penuh saadah
Lahirnya zuriat yang sangat tabah

Muhammad itu gelaran terpuji
Nama mulia keturunan Hasyimi
Selawat dan salam sama dirai
Tanda kasih cinta abadi

Muhammad al Mustaffa ibni Abdullah
Saidatina Aminah itulah bondanya
Lahir ke dunia tiada berayah
Bondanya pula wafat di Abwa

Wajahmu tak pernah tertatap
Tetapi rindu sangat menyerap
Syafaatmu kami berharap
Menjadi sinar di hari yang gelap

Walau baginda orang yang umi
Namun hatinya terang sekali
Engkaulah cahaya di siang hari
Menjadi bintang di malam sepi

Pada wajahnya penuh berseri
Umpama bulan di malam hari
Nabi muhammad ulul azmi
Rasul mulia penghulu nabi


Sam Rizal
13032010
SK Tmn Bersatu

Malu

sudah berlalu 10 pertama
janji-Mu mengurniakan Rahmat
aku rasa rahmat itu sudah sampai
di hatiku
tanpa rasa malu
aku mengaku begitu

kini menjengah pula 10 kedua
janj-Mu mengurniakan keampunan
aku mahukan pengampunanmu
tapi tidak bersungguh merayu
tidak beria menunggu
tidak lama ku sembab dahi di tikar hampar
tidak tertongkat tangan menadah maghfirah
tidak setitipun air jernih tumpah
tidak kedengaranpun alunan kalam suci dari lidahku
hatiku tak betah menyebut nama-Mu
tapi
beria benar aku mahukan keampunanmu

tanpa rasa malu
aku mohonkan keampunanmu
ya rabb
berilah kesempatan
untukku
meneguk air magfirah-Mu
setelah rahmat-Mu berlalu
di bulam Karim

Sam Rizal 20082010
Simpang Pulai

Kambing, kambinglah jua

 Adapun dceriterakan oleh empunya sahibul hikayat, akan kisah sang kambing sekandang. Dikisahkan tentang seekor kambing yang tersangatkah me...