Wednesday, June 24, 2020

Jamuan Raya

Minggu hadapan sekolah akan adakan jamuan sempena hari raya. Setiap murid digalakkan membawa juadah atau menyumbangkan wang untuk meraikannya.

Zikri, kelihatan murung. Dia mahu meraikan sambutan bersama rakan-rakannya yang lain.
"Aku tidak ada wang untuk disumbangkan," bisiknya sendirian.

Bukan dia sahaja, ada beberapa orang pelajar lain yang sama dengannya. Mereka bukanlah orang berada. Sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Tetapi kemeriahan berhari raya tetap mahu diraikan.
"Apa yang dibualkan tu?" Tanya Cikgu Nazrin, guru  kelas 6 Intan.
"Tak ada apa-apa cikgu, minggu depan ada jamuan sempena hari raya," kata Zikri mewakili rakan-rakannya.

Cikgu Nazrin faham maksud anak-anak muridnya itu. Dia mengenali mereka sejak tahun empat lagi. Sudah tiga tahun cikgu Nazrin menjadi guru kelas mereka.

"Begini, minggu depan Zikri bawa 50 ketul kuih koci, Amin bawa 50 bungkus nasi lemak, Azri bawa 50 ketul karipap pusing. Cikgu dah tempah kek gula hangus daripada Farah. Persediaan lain kita akan bincang dalam kelas nanti" cikgu Nazrin memberikan penjelasan kepada mereka.

"Tentang bayaran, jangan bimbang, sebelum balik nanti cikgu akan bagi kepada kamu untuk diserahkan kepada ibu masing-masing," tambah Cikgu Nazrin sambil tersenyum.

Di rumah mereka menyerahkan sampul berisi wang kepada ibu masing-masing seperti yang dinyatakan oleh Cikgu Nazrin. Dalam sampul itu berisi wang untuk menempah juadah sambutan hari raya. Jumlahnya melebihi daripada harga yang sepatutnya.

Begitulah cara Cikgu Nazrin dan Cikgu Rizal meraikan anak-anak murid dan keluarga mereka. Syukur, itulah kalimat yang bermain di bibir anak-anak murid dan keluarga yang sangat pekerti ini.

No comments:

Post a Comment

Kambing, kambinglah jua

 Adapun dceriterakan oleh empunya sahibul hikayat, akan kisah sang kambing sekandang. Dikisahkan tentang seekor kambing yang tersangatkah me...