Apa salahnya dengan lalang
bukanlah ia bangsa petualang
melainkan ditiup depan dan belakang
berlenggok dan bergoyang
tanpa mengira malam atau siang
girang atau walang
subur lalang di celah rekahan tanah
tanah terbiar
tanah usang
tanah yang bakal meruntuh
kerana ditinggalkan
tanpa sebarang ikhtiar
subur lalang tanpa diminta baja
subur lalang tanpa ditagih hujan
subur lalang tanpa inginkan redup
subur lalang di terik suria
pengukuh hamparan yang bakal roboh
apa salahnya lalang
aku mahu menjadi lalang
pengukuh hamparan tanpa diminta
tanpa dibaja
tanpa diredup
sering ditindas
sering dicantas
sedarkah
semakin aku dicantas
ditindas
dipangkas
semakin pula aku bertunas
Sam Rizal02012013
Desa Pulai Jaya
No comments:
Post a Comment