Anjung kedamaian ini ..... dulu
Tak pernah sunyi daripada
Laluan manusia yang mukhlis
..... Walaupun kadangkala tak muklis
Tapi .... Ia tak pernah sunyi
Anjung kedamaian ini
Menjadi teduhan
Umat menanti pengajian
Di situ bersandar kardus
Penuntut ilmu keguruan
Anjung kedamaian ini
.... Dulu
Sering sendat di hari penghulu
..... Sesak .....
Seperti jemaah di Mina
Walaupun bukan tidak seperti Mina
Anjung kedamaian ini
Tempat kami membetulkan
Semutar, bulang .... Kopiah
Dan bersisir
Di bawahnya
Anjung kedamaian ini
Dindingnya terlekat takwim
Tempat bilal meneliti waktu
Anjung kedamaian ini
Kini benar-benar damai
Damai daripada segalanya
Damai daripada manusia muklis
Dan tidak muklis
Damai daripada kardus keguruan
Damai daripada jemaah seperti Mina
Yang tak macam Mina (bukan)
Damai daripada segala kedamaian yang nyata
Anjung kedamaian ini benar-benar damai
Damainya kerana kami
Yang benci kedamaian itu
Anjungmu kini damai
Lantaran
Siling Anjung Yang Runtuh
Sam Rizal
Surau Diri Jumaat Institut Bahasa
17 April 1996
No comments:
Post a Comment